KUALA LUMPUR 13 Jan. - Malaysia kini mempunyai satu sistem pencarian maklumat padat tercanggih yang dinamakan Malaysia Info Kiosk 'e-ryza' yang berfungsi sebagai pemberi maklumat mengenai semua aspek dalam negara. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sistem yang lengkap dengan maklumat tentang peta Malaysia, informasi terkini, komunikasi, perniagaan dan perkhidmatan Internet itu mampu menjadi strategi utama kementerian menarik lebih ramai pelancong asing datang ke negara ini.Katanya, kewujudan sistem kiosk yang berkonsepkan skrin sesentuh itu adalah selaras dengan perubahan era teknologi global yang semakin hari berkembang maju."Kita yakin e-ryza mampu memberikan maklumat yang tepat dan pantas kepada pelancong dalam dan luar negara yang melancong ke negara ini," katanya ketika berucap pada perasmian Malaysia Info Kiosk, 'e-ryza Brain of Malaysia' di sini hari ini.
Info Kiosk e-ryza merupakan sistem komputer yang berfungsi sebagai pemberi maklumat khususnya tentang peta Malaysia, industri perhotelan, kompleks beli belah, tempat makan, tempat hiburan, sukan, perubatan, pendidikan, pengangkutan awam, maklumat kewangan dan direktori.Operasi 24 jam e-ryza itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan Internet, telefon, mel video, pembayaran bil, tambah nilai prabayar dan termasuk tempahan e-ticketing.Orang ramai boleh membuat pembayaran secara terus melalui kad kredit sekiranya membuat sebarang tempahan melalui sistem kiosk itu.Azalina berkata, e-ryza akan ditempatkan di semua kawasan awam seluruh negara seperti pusat pelancongan, hotel, pusat beli-belah dan pusat persidangan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pelancong asing. Beliau berkata, e-ryza merupakan sistem pemberi maklumat yang terbaik setakat ini, sekali gus dapat meningkatkan sektor pelancongan Malaysia yang kini merupakan negara kedua terbaik dalam Asia dan pertama dalam ASEAN."Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat Rhyzrin Sdn. Bhd., yang telah berjaya mencipta e-ryza dengan jayanya, oleh itu, diharap sistem itu dapat diaplikasikan dengan sebaik-baiknya oleh orang ramai," jelasnya.Sementara itu, Pengarah Urusan Rhyzrin, Rhymie Ibrahim berkata, e-ryza direka selaras dengan Zoom! Malaysia dan bertujuan membantu sektor pelancongan untuk seiring dengan zaman terkini. Katanya, sebanyak 100 unit e-ryza telah dijual dan ditempatkan di beberapa kawasan awam khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak 45 unit, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) (5) dan Stesen Sentral Kuala Lumpur (15).Selain itu, katanya, e-ryza turut dilanggan di Dataran Pahlawan Melaka, Bukit Bintang Plaza, SACC Mall, kompleks Subang Parade, Mydin dan Jusco. "Bagi tahun 2009, sebanyak 100 unit lagi akan dikeluarkan dan ditempatkan di beberapa negeri terutama di pusat-pusat pelancongan dan hotel-hotel. "Hasil tinjauan menunjukkan e-ryza banyak membantu pelancong dan masyarakat dalam negara berikutan setiap e-ryza yang telah beroperasi pada tahun lepas, penggunaannya semakin meningkat iaitu kira-kira 160 pengguna sehari," katanya.
![]() |
|
|
![]() |
||
![]() |
![]() |
|
|
|
|
|